Monday, September 6, 2010

Memori itu

Hari itu hari terakhir aku melihatnya. Semenjak itu, aku tidak lagi dapat bersua muka dengannya. Malah tiada khabar berita daripadanya buat aku. Biarpun hati ini terus menduga, tiada seorang pun yang mampu merungkai pertanyaan yang bersarang di hati. Aku ditinggalkan dengan seribu satu kenangan. Aku ditinggalkan dengan seribu satu persoalan. Di manakah kau Farees? Mengapa kau tidak muncul lagi di hadapan aku? Kau sudah tidak mahu berkawan dengan aku? Tapi kau tak pernah pula mengatakannya kepadaku. Sudah genap sedekad kau tinggalkan aku, Farees. Tergamaknya kau menyiksa aku begini. Aku terlalu merindui kenangan kita sewaktu kecil dahulu.

"Damia, terima kasih sebab awak sudi berkawan dengan saya. Saya ingatkan awak tak suka saya. Awak garang betul dengan saya. Awak ingat tak minggu pertama saya di sini? Awak kata saya anak maklah, saya lembiklah, awak benci dengan orang macam saya. Awak baling bola pada saya dengan kuat."

"Err, sorry lah Farees. Memang aku tak suka orang macam kau ni. Tapi, kau ni baik so aku kawan aje lah, mak aku suruh aku kawan dengan kau. Lagipun mak kau baik. Eh, kau tak payahlah cakap sampai macam tu sekali dengan aku Farees. Gelilah aku dengar."

Lucu. Kau sentiasa sopan dalam menuturkan kata sementara aku, sentiasa kasar dalam berbicara. Kita bagai langit dan bumi. Kau anak orang berada, aku anak orang biasa. Kau pintar berbahasa, aku pintar matematika. Tapi perbezaan kita tidak pernah menjadi batu penghalang. Benarlah kata orang, persahabatan sejati itu lahir dari hati yang suci. Hati yang tidak mengenal pura-pura. Hati anak-anak kecil yang terlalu bernilai harganya. Hati kita berdua. Namun adakah kau masih memiliki hati yang sama Farees? Atau sudahkah kau melupakan teman sepermainanmu ini?

Hari ini aku akan pergi. Semua kenangan kita di sini akan aku tinggalkan di rumah pokok kita ini Farees. Aku akan melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi.

"Beriya-iya kau suruh aku datang sini. Ada apa Farees?"

"Damia, saya nak awak dengar lagu ni."

Farees memainkan lagu yang indah dengan kotak muzik yang bernama piano itu. Aku diam mendengar merdunya mainan jari Farees. Tanpa aku sedari, fikiranku sudah menerawang entah ke mana. Lamunanku terhenti apabila Farees menyentak.

"Sedap tak lagu ni Damia?"

Aku hanya mengangguk-anggukkan kepala.

"Saya cipta lagu ni semalam. Saya nak awak jadi orang pertama yang dengar lagu ni. Sebab tu lah saya suruh awak ke sini."

"Oh, kau cipta sendiri? Hebat jugak kau ni. Kau nak jadi pemuzik ke Farees?"

"Ya, saya nak cipta banyak lagu yang jalan ceritanya boleh dikaitkan dengan banyak orang. Tentu seronok."

"Wah, aku ada kawan pemuziklah nanti kan. Bolehlah aku mengadu dekat kau, lepas tu kau cipta lagu untuk aku. Haha."

"Tentulah boleh. Awaklah yang menjadi keutamaan saya. Awak nak jadi apa nanti Damia?"

"Aku? Entahlah. Pendengar setia lagu-lagu kau?"

Kami tertawa kecil.

Ahh Farees. Aku masih sama seperti dulu. Belum pasti dengan cita-citaku. Aku memang cekap mengira, tapi aku tak berminat pula menjadi tukang kira-kira. Andai saja kau ada untuk membantu aku.

Kepada siapa mesti aku adukan? Letihnya tubuhku, letihnya fikiranku. Ibu? Jangan, Damia. Belajarlah untuk tidak bergantung pada ibu. Hari-hari di tempat baru ini begitu menduga aku. Bezanya kehidupan dahulu dan kini amat aku rasakan. Farees. Kau tentu sudah biasa dengan hal ini kan. Kau terlebih dahulu melalui semua ini. Aku ingin bertemu kau, Farees. Aku sangat merindui kau.

"Hah, Damia! Jauh termenung tu, fikirkan apa? Teman lelaki?" sergah Lydia, rakan sebilik aku.

"Eh, Lydia. Kau ni mengejutkan aku ajelah. Aku teringatkan mak akulah, kau dengar apa tu?"

"Iyelah tu. Aku dengar cd yang abang aku kirim ni. Dia kata lagu-lagu ni semuanya kawan dia yang cipta. Sedap jugak, aku layan je. Kau nak dengar?"

"Abang kau pelajar jurusan muzik ke Lydia?"

"Taklah, abang aku pelajar jurusan bisnes. Tapi dia berkawan baik jugaklah aku rasa dengan pemilik lagu-lagu ni."

"Oh, nanti kau pinjamkan aku cd tu ya."

Masuk hari ni, sudah seminggu aku mendengar cd yang dipinjamkan Lydia. Lagu-lagu yang termuat dalam cd ini memang sesuai dijadikan halwa telinga. Terubat sedikit keletihan aku seharian setelah mendengarnya. Ada yang berlirik, ada yang tidak. Kedua-duanya pun aku suka. Aku jadi teringat akan Farees yang sememangnya tidak pernah aku lupakan. Farees ada janji, dia akan ciptakan lagu untuk aku. Di mana kau, Farees? Kau ingat lagi dengan janji kau?

"Kau nak ikut aku balik ke rumah tak hujung minggu ni Damia? Abang aku nak balik bercuti katanya. Kawan dia yang kau minat sangat tu pun ikut sama."

"Balik ke rumah kau? Eh, aku minat lagu-lagu dia ajelah. Bukannya aku minat dia. Kenal pun tak. Ok lah, aku ikut kau balik."

Lydia anak orang kaya. Bapanya seorang usahawan berjaya yang berpangkat Datuk. Rumahnya cukup besar, tersegam indah dari jauh. Aku takut juga hendak bermalam di sini. Takut sikapku tidak kena dengan orang-orang di rumah ini tapi Lydia yang memahami kegusaran aku menyuruh aku untuk selamba. Katanya orang-orang di rumah ini okay, tak macam orang-orang kaya lain yang aku fikir. Aku sebenarnya tidak sabar untuk bertemu dengan pemilik lagu-lagu yang cukup aku gemari itu. Kata Lydia, dia sendiri belum sempat mengenali rakan abangnya itu. Malah namanya juga dia terlupa.

Orang tua Lydia memang berbeza daripada apa yang aku fikirkan. Mereka cukup ramah dan menyenangkan seperti puteri mereka. Malam itu aku dan Lydia menyiapkan tugasan kami dan menonton dvd. Kami tidur agak awal kerana hendak menyambut kepulangan Abang Imran dan rakan baiknya. Jauh di sudut hati, aku sangat teruja kerana akan bertemu dengan pencipta lagu-lagu kegemaranku.

Ya Tuhan, handsomenya kedua-dua laki-laki ni! Baik abang Imran mahupun rakannya, kedua-dua orang ini mampu buat setiap perempuan angau dengan mereka! Tapi bagi aku, tentulah pemilik karya-karya indah ini yang lebih menambat hati. Apa yang aku fikir ni? Ish Damia, tak malulah kau ni.

"Hello everyone, this is Farees," abang Imran memperkenalkan rakannya.

Jantungku hampir gugur mendengar namanya disebut. Apa?? Farees?? Ini Farees aku ke?? Farees, itu kau ke?? Aku ni, Damia. Kau ingat tak??

Aku tidak dapat menahan diri yang bagai dilanda kejutan elektrik di lapangan terbang tadi. Lydia yang memperkenalkan aku kepada abangnya dan Farees itu. Tetapi aneh, Farees sedikit pun tidak menunjukkan sebarang reaksi yang menyatakan dia mengenali aku. Kalau benar itu Farees yang aku cari, mungkin dia tidak cam akan rupa aku. Maklumlah, sudah sedekad kami tidak bertemu. Tapi masakan dia lupa nama aku? Ahh, aku benci diselubungi persoalan-persoalan begini. Seseorang tolanglah jelaskan kepada aku!

Bagaimana caranya aku dapat memastikan itu Farees yang aku kenal sepuluh tahun dahulu? Hendak aku tanyakan nama ayahnya, aku sendiri tidak tahu. Apa yang aku tahu, ayah Farees seorang pilot. Sebab itulah dia selalu tinggal dengan mamanya sahaja di rumah.

"Lydia, ayah Farees tu pilot ke?"

"Amboi, dah bertanyakan bakal bapak mertua!"

"Eh kau ni merepek ajelah. Bukan apa, dulu aku ada kawan nama Farees. Ayah dia pilot."

"Oh, setahu aku ayah Farees tu ahli perniagaan. Farees tu datang sini pun sebab nak berbincang pasal business baru ayah dia."

Hampa. Aku memang hampa. Padahal semua kebetulan yang terjadi membuatkan aku percaya itu Farees yang aku tunggu-tunggu selama ini.

Walaupun tidak berkesempatan mengenali Farees itu, aku sempat menyatakan pujian untuk karyanya yang indah itu. Tak apalah walau dia bukan Farees aku. Tapi entah kenapa, naluriku masih kuat mengatakan dia Farees yang aku tunggu-tunggu. Ahh, daripada aku terus berteka-teki dengan diri sendiri tanpa jawapan yang pasti, lebih baik aku pejamkan mata yang keletihan ini.

"Damia, bangunlah, dah lambat ni!"

"Ish, kenapa kau memekak pagi-pagi buta ni Lydia, dah pukul berapa ni?"

"Aku memekak sebab kau tu dah aku kejut berkali-kali pun tak bangun-bangun jugak. Dah lambat ni. Baik kau bersiap cepat."

"Ye, aku bangunlah ni."

Kehidupan di institusi pengajian tinggi memang memenatkan aku. Tak lama lagi, aku akan menyempurnakan tahun pertama aku. Aku mesti mempersiapkan diri dengan sempurna untuk peperiksaan nanti. Farees, masih belum dapat aku jejaki. Pernah aku cari dia di laman sosial internet, tidak aku temui. Aku pulang ke kampung, ibu tidak memberikan respon yang diharapkan. Patutkah aku berhenti memikirkan Farees? Mungkin dia sendiri sudah melupakan aku. Jika tidak, masakan dia tidak pernah mencari aku selama ini? Atau mungkinkah dia ditimpa musibah yang menghalang dia mencari aku? Oh Tuhan, janganlah engkau biarkan hati aku terus resah seperti ini. Aku perlu tenang untuk peperiksaan aku nanti.

Hari ini, aku menerima sebuah bungkusan dari Australia. Bungkusan yang berisi cd daripada Farees yang aku temui beberapa bulan yang lalu. Pasti lagu barunya, bisik hatiku. Tetapi kali ini sekeping warkah termuat sama dalam bungkusan ini. Aneh, tak pernah pula Farees mengirim surat untuk aku. Aku buka surat ini dengan perlahan-lahan, cermat. Entah sejak bila aku bersikap seperti ini. Aku menarik nafas dalam-dalam dan mula membaca.

Saudari Damia,
Mungkin saudari tertanya-tanya mengapa saya mengirimkan saudari surat ini. Saudari mungkin tidak tahu, pertemuan kita awal tahun dahulu adalah sangat bermakna buat saya. Hati saya kembang apabila mendengar pujian saudari tentang lagu-lagu saya. Bagaimana dengan rumah pokok kita saudari? Ya saudari, saya bertanya tentang rumah pokok yang kita temui bersama-sama sepuluh tahun yang lalu. Ini saya Damia, Farees. Farees lembik. Farees anak mak. Farees sahabat awak yang mahu menjadi pemuzik terkemuka. Saya, Damia. Saya tahu awak tahu saya memang saya. Lydia ada beritahu saya, awak bertanyakan pekerjaan papa. Dari situlah saya yakin awak adalah awak. Tapi tak mungkin saya mengiyakan kebetulan yang terjadi. Tak mungkin saya biarkan awak menahan saya daripada pergi sekali lagi. Maafkan saya kerana pergi meninggalkan awak tanpa kata-kata sepuluh tahun yang lalu, Damia. Waktu itu saya sendiri tidak tahu apa yang berlaku. Mama cepat-cepat membawa bagasi besar berisi pakaian kami keluar dari rumah menuju ke lapangan terbang. Mama kata kami mesti balik ke rumah atuk di Australia. Waktu itu atuk sakit tenat. Atuk meninggal dunia selepas kami tiba di rumahnya sehari. Selepas itu saya fikir kami akan pulang ke Malaysia, tetapi mama kata atuk mewasiatkan syarikatnya kepada papa. Papa terpaksa meletakkan jawatannya sebagai pilot dan mengambil alih syarikat. Sebab itu kami tidak kembali lagi ke Malaysia. Saya mahu mencari awak setelah tamat persekolahan Damia, tapi saya fikir mungkin awak sudah melupakan saya. Namun itu bukanlah alasan utama saya memencilkan diri daripada awak.
Saya ditimpa ujian yang berat oleh Tuhan. Beberapa tahun yang lalu, saya disahkan menghadapi kanser tulang dan saya tidak punya waktu yang panjang lagi untuk terus hidup. Mungkin ketika awak sedang membaca surat ini, saya sudah pun menghembuskan nafas yang terakhir. Sebab itulah saya tidak mencari awak dan meskipun kita ditemukan, saya terpaksa berpura-pura tidak mengenali awak.
Saya sering memanjatkan doa kehadrat Ilahi agar Dia memadamkan saya dari ingatan awak. Saya tidak mahu awak bersedih. Namun, apakan daya, Dia mahu saya menjelaskan semuanya kepada awak. Saya berharap agar awak tidak menyimpan perasaan marah terhadap saya. Sekali lagi saya mohon kemaafan yang terdalam daripada awak, Damia. Cd ini cuma berisi sebuah lagu, dan lagu itu saya cipta hanya untuk awak, seperti yang saya janjikan waktu kita kecil dahulu. Maafkan saya, Damia dan terima kasih kerana menjadi memori yang terindah buat saya. Teruskanlah hidup awak dengan baik, Damia.
-Farees-

Tiada kata yang dapat aku ucapkan saat ini. Hanya air mata yang dapat aku titiskan untuk sebuah kesedihan yang terlalu dalam untuk aku. Tidak pernah walau sesaat pun hati ini menyimpan amarah untuk kau, Farees. Jika kau memang sudah tiada lagi di dunia ini, semoga kau tenang di alam sana. Aku akan teruskan hidup ini dengan baik, Farees. Terima kasih kerana menjelaskan semuanya kepada aku. Kau juga memori yang terindah buat aku.